KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru agar individu yang belum mendapatkan vaksinasi atau dos penggalak vaksin Covid-19 agar mendapatkannya segera terutama golongan warga emas.
Gesaan itu susulan kadar kemasukan ke hospital awam bagi kalangan warga emas menunjukkan peningkatan tertinggi dengan 1.0 per 100,000 populasi kepada 9.0 per 100,000 populasi.
Menurut KKM, peningkatan tersebut dicatatkan pada Minggu Epidemiologi 10/2022, melibatkan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
“Pemberian dos penggalak berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam daripada ia mula dilaksanakan pada ME 43/2021 sehingga ke kadar paling rendah pada ME 3/2022.
“Gelombang Omicron bermula pada ME 1/2022,” menurut KKM dalam satu kenyataan, hari ini.
KKM memmaklumkan tanpa perlindungan tambahan daripada dos penggalak, warga emas sememangnya terkesan teruk dengan jangkitan Covid-19.
Menurutnya, ia membabitkan kemasukan ke hospital pada kategori 3 hingga 5, serta kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga kematian.
Katanya, sehubungan itu pengambilan vaksin Covid-19 terutama dos penggalak dalam kalangan warga emas amat penting bagi perlindungan daripada jangkitan teruk Covid-19 yang boleh membawa maut.
Selain itu, ia juga sebagai persediaan memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ pada 1 April ini serta membolehkan golongan itu menyertai dan melakukan aktiviti-aktiviti mengimarahkan bulan Ramadan yang akan tiba dengan selamat.
“Oleh itu, KKM ingin menyeru kepada semua warga emas yang berkelayakan namun belum menerima vaksin sama ada dos primer atau dos penggalak untuk segera mendapatkannya,” katanya. – Malaysiapost

