Polis nafi berlaku kes culik, bunuh ambil organ kanak-kanak

0
2

POLIS Johor menafikan berlaku kes menculik dan membunuh bagi tujuan pengambilan organ kanak-kanak di beberapa daerah di seluruh negeri ini.

Ketuanya, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya mengesan penularan maklumat palsu itu yang semata-mata mahu menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Katanya, maklumat palsu itu disebarkan menerusi audio di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp, namun hasil siasatan mendapati audio yang ditular adalah audio lama yang tidak benar.

“Kejadian culik, bunuh dan pengambilan organ itu kononnya didakwa di Kahang, Mersing, Kluang dan Masai. Audio yang sama pernah ditular pada 2019 dan polis mengesahkan kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, polis mendapati ia suatu cubaan untuk menimbulkan ketakutan serta kebimbangan orang ramai, dan perbuatan menyebar serta membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang.

“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dakwaan daripada sumber tidak sah menggunakan maklumat palsu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here