Tiada alasan Umno lengahkan PRU15 – Tok Mat

0
2

TIADA alasan untuk Umno melengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Malah menurutnya, menganjurkan PRU semasa pandemik adalah pilihan terbaik namun semuanya dilaksanakan dengan disiplin dan ketertiban seperti di Melaka, Sarawak dan Johor.

Beliau berkata memenangi pilihan raya dan menguasai kerajaan bermakna merancang agar PRU diadakan pada masa dan waktu yang tepat.

Kata Mohamad, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk penting bahawa masanya adalah sekarang dan bukan tahun hadapan.

“Sebabnya saya perincikan begini. Pertama, kerana pihak lawan ternyata sangat lemah. PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi Johor.

“DAP hilang banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya
memenangi 10 kerusi dari 14.

“PN pula dalam semua PRN lepas, hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing yang handal lagi
digeruni. Di Johor, PN telah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam ini.

Sehubungan itu Mohamad mengingatkan agar Umno memanfaatkan segala peluang dan ruang atas kelemahan musuh, nenyerang sewaktu mereka benar-benar lemah.

“Itu falsafah peperangan. Melengahkan PRU akan membuka potensi kebangkitan pembangkang. (Jangan kita ulangi
langkah sumbang PRU 14).

“Kedua, umum mengetahui persefahaman politik pembangkang adalah sangat bercelaru. Semua berlumba dengan cita-cita sendiri. Bagai enau dalam belukar, melepas pucuk masing-masing.

“Semua ghairah bertanding tanpa mengukur keupayaan sebenar. Ada yang tidak punya ‘struktur’. Hanya berpaut pada seorang dua personaliti, itu pun tanpa pengalaman. Tanpa kesatuan, mereka tidak boleh mengalahkan BN,” katanya.

Ketika kata Mohamad, pelbagai pilihanraya semasa pandemik telah berlangsung dengan berjaya dan teratur, manakala keempat, prestasi Umno dan BN sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran.

Menurutnya, harga barang juga semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal selain kemarahan rakyat membuak-buak, jika semakin lama dibiarkan, semakin ramai akan mengkambinghitamkan Umno dan BN.

Semua itu tegasnya, akan menjadi peluru politik PH untuk menembak kerajaan dan Umno akan menerima tempiasnya.

“Kerana itu, adalah sangat berisiko untuk melengahkan PRU dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu akibat
pelbagai faktor dalaman dan antarabangsa.

“Dan terakhir, BN mesti mengembalikan semula mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang sah. Jangan terus berdolak dalih. Malaysia tidak pernah ditadbir
oleh kerajaan yang tidak terbentuk melalui pilihan raya yang demokratik.

“Keabsahan kerajaan sekarang terus dipersoal. Kita tidak menang dalam PRU lepas. Kita hanya menguasai kerajaan
melalui percaturan politik.

“Sampai bila kita mahu terus bergantung dengan CSA dan MOU untuk mengurus kestabilan negara ini? Sejak bila, kelangsungan serta keabsahan kita sebagai pemerintah, bergantung pada ihsan dan simpati parti lain? Sampai bila?,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here