Siasatan terhadap Tawfiq masih berjalan – Polis

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan terhadap Datuk Dr Tawfiq Ayman berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaun bank miliknya di Singapura masih berjalan dan belum terhenti.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a) AKTA Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di Singapura. JSJK mengesahkan Commercial Affairs Department, Singapura telah memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat/dokumen secara ‘on intelligence basis’ dengan pegawai penyiasat JSJK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, kertas siasatan berhubung kes membabitkan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada Oktober 2021.

Katanya, arahan diterima daripada Jabatan Peguam Negara untuk PDRM mendapatkan keterangan yang berada di Singapura yang boleh diterima oleh mahkamah di Malaysia.

“Ekoran daripada arahan ini, JSJK telah berkomunikasi dengan Commercial Affairs Department, Singapura untuk pasukan penyiasat PDRM ke sana untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Ia bagi membolehkan polis mengemukakan permohonan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah [Mutual Assistance in Criminal Matters ACT] 2002 melalui Jabatan Peguam Negara Malaysia.

“Pihak Berkuasa Singapura telah memberikan persetujuan untuk pasukan penyiasat PDRM ke Singapura pada Disember 2021 dan Februari 2022 tetapi pergerakan ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh beberapa faktor,” katanya.

Beliau berkata, antara faktor tersebut adalah penggantungan sementara VTL antara Malaysia dan Singapura mulai 23 Disember 2021 HINGGA 20 Januari 2022.

“Selain itu, pegawai penyiasat telah menjadi kontak rapat dan kemudiannya positif Covid-19 pada Februari 2022. Keadaan ini telah menyebabkan pegawai penyiasat tidak dapat memberi maklum balas berhubung pergerakan yang sesuai ke Singapura.

“Serta, maklum balas juga belum diterima daripada saksi-saksi yang merupakan warganegara Singapura mengenai kesediaan mereka ditemubual oleh pasukan penyiasat,” katanya.

Beliau berkata, terkini, Commercial Affairs Department Singapura telah bersetuju membenarkan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura pada 29 dan 30 Mac ini bagi tujuan pengumpulan maklumat dan keterangan bersabit kes berkenaan.

“Justeru, PDRM ingin menyatakan bahawa apa jua kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes Dr Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau untuk mengelirukan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada laporan portal newswav.com bertajuk ‘Police Sink To New Lows In Tawfiq Probe’ bertarikh 16 Mac lalu yang ditulis oleh R Nadeswaran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here