AHLI atau pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diminta menantikan maklumat lanjut mengenai pengeluaran khas RM10,000 di laman web rasmi dan laman media sosial KWSP.
KWSP dalam satu pengumuman di laman Facebook rasminya, memaklumkan maklumat lanjut dan mekanisme pengeluaran khas itu dalam masa terdekat.
“Lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, KWSP akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan dengan pandemik.
“Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran akan dimaklumkan oleh KWSP dalam masa terdekat,” menurut pengumuman itu.
Ismail Sabri dalam sidang media khas hari ini, mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu. – Malaysiapost

