Jadikan PAU 2021 medan perkukuhkan kekuatan Umno – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli partinya menjadikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 sebagai medan memperkukuhkan kekuatan parti itu.

Selain mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan Umno yang datang dari seluruh negara, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap aspirasi Umno yang dibawa menerusi PAU 2021 akan bergema seluruh tanah air.

“Saksikanlah PAU 2021 medan kita yang selanjutnya untuk memperkasakan lagi kemuafakatan dan memacu lebih kekuatan.

“Dan manfaatkanlah serta terjemahkanlah ia tentang Umno sebuah perikatan, pakatan dan pejuang yang sebenar agar diperlihatkan kepada seluruh nusa bangsa.

“Biar bergema ke seluruh tanah air wadah semangat dan aspirasi Umno sentiasa muda dan keterhadapan. Kepada Allah SWT kita memohon petunjuk dan pedoman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid memanjatkan kesyukuran kepada ilahi kerana perjuangan Umno masih lagi relevan ketika ini meskipun dilanda pelbagai ujian sejak empat tahun kebelakangan ini.

“Setinggi-tinggi rasa syukur Alhamdulillah kehadrat Allah, sehingga ke saat ini Umno masih gah melayari perjuangan agama, bangsa dan tanah air walau apa musuh naratifkan selepas 9 Mei 2018.

“Pimpinan, ahli serta penyokong nan setia terus bersama mengharungi ranjau dan onak duri tanpa gentar, tanpa kesal walau begitu ganas mereka diasak dan digasak.

“Kerana kita yakin dan kita pasti Umno lah sebuah perjuangan yang benar serta tulus murni dalam kisah menjulang kemakmuran lalu wajib dipertahankan,” katanya.

PAU 2021 akan membuka tirai secara rasmi menerusi perasmian serentak sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di PWTC, pada jam 8 malam ini.

“Sesungguhnya perjalanan Umno masih panjang dan sejarahnya tidak akan sesekali terpadam walau apa sahaja dugaan yang telah dan akan terpaksa ditempuhi.

“Biar berdentum guruh di langit, tidak hancur bumi sebelum kiamat, biar pelbagai cubaan mendatang, tetap perjuangan Umno diteruskan.

“Selamat bersidang kepada seluruh perwakilan dan pemerhati PAU 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here