PH dakwa parti pembangkang lain punca BN menang selesa 

0
2

PARTI-PARTI pembangkang tidak seharusnya bertanding hanya di kawasan Pakatan Harapan (PH) yang akan mengurangkan undi gabungan itu dan secara tidak langsung meningkatkan peluang kemenangan Barisan Nasional (BN). 

Demikian kenyataan Majlis Presiden PH yang mengulas mengenai kekalahan teruk pakatan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu.  

Bagaimanapun, PH dalam kenyataan hari ini, bertekad akan berusaha merangkul seluruh kekuatan yang sedia menolak kerakusan dan rasuah demi membina kerjasama dalam kalangan parti-parti pembangkang agar dapat bersama dalam usaha menolak BN. 

“Majlis Presiden PH menerima keputusan rakyat dalam PRN Johor dan mengakui kelemahan termasuk dalam isu pertandingan pelbagai penjuru oleh parti pembangkang sendiri, logo, peratusan keluar pengundi rendah, serta aspek penerangan dan komunikasi PH berhubung isu-isu semasa yang menyebabkan PH memenangi 12 kerusi. 

“PH akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan ini segera terutama dengan mengatur semula strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diatasi oleh satu parti atau dengan satu ikhtiar sahaja, tetapi perlu diurus bersama dan secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.  

Pada PRN Johor Sabtu lalu, PH hanya mampu memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. 

Justeru, PH akan melaksanakan beberapa tindakan segera termasuk konvensyen dan pemukiman pimpinan gabungan parti itu untuk menggilap semula idealisme perjuangan dan penyokong-penyokongnya, serta membincangkan persiapan keseluruhan bagi menghadapi PRU15. 

“Kami terus bertekad menetapkan dasar-dasar ekonomi mampan yang mampu menyelesaikan masalah-masalah rakyat seperti isu pengangguran, kos sara hidup, pengurusan pandemik Covid-19. 

“Ia termasuk isu prosedur operasi standard (SOP) dan kompaun pelanggaran, kenaikan tarif elektrik untuk perniagaan, tambahan cukai, serta kehimpitan hidup rakyat. 

“Negara kita mesti diselamatkan dari gejala rasuah dan urustadbir yang pincang,” kata kenyataan itu.  

Pada masa sama, Majlis Presiden PH menegaskan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan pada mesyuarat Parlimen ini seperti dijanjikan Perdana Menteri. 

“Pimpinan utama PH akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya.  

Kenyataan Majlis Presiden PH dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here