Pemimpin PKR dakwa calon MB pilihan rakyat diketepi selepas BN menang

0
2

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa berlaku pelanggaran ke atas amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan susulan calon yang menjadi pilihan rakyat tidak dilantik Menteri Besar Johor.

Wakil rakyat dari PKR itu juga berkata, calon Menteri Besar itulah yang telah mengetuai partinya memperoleh kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, minggu lalu.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac 2022 adalah pilihan raya umum untuk membentuk sebuah kerajaan rakyat.

“Rakyat Johor telah memberi mandat yang besar dengan majoriti melebihi dua pertiga untuk membentuk sebuah Kerajaan Rakyat yang akan dipimpin oleh seorang Menteri Besar Johor yang telah dinamakan secara tersurat dan tersirat sepanjang kempen PRN.

“Tetapi selepas parti politik yang diketuai di peringkat negeri oleh calon Menteri Besar itu menang besar, namun pihak Sultan tidak memilih calon pilihan majoriti rakyat itu sebagai Menteri Besar, sebaliknya memilih calon lain yang bukan pilihan Rakyat Johor.

“Ini jelas bermakna calon Menteri Besar pilihan rakyat ditolak oleh pihak Istana,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hassan berkata perkara tersebut adalah sesuatu yang amat malang.

Sepanjang kempen PRN Johor, Barisan Nasional (BN) mencalonkan Datuk Hasni Mohamad sebagai ‘poster boy’ untuk dilantik Menteri Besar Johor sekiranya menang pada PRN tersebut. 

Bagaimanapun hasrat itu tidak tercapai apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi diperkenan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Menteri Besar yang baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here