PELANTIKAN Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, tidak melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, menjelaskan pengundi hanya memilih parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri, bukan menentukan siapa Menteri Besar Johor yang baru.
“Apa yg berlaku di Johor hari ini adalah betul dari segi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
“Pengundi hanya memilih parti mana yang akan membentuk Kerajaan Negeri. Setakat itu sahaja.
“Apabila kerajaan negeri telah terbentuk (melalui perkiraan parti mana yg memperolehi majoriti dalam Dewan Undangan Undi) maka selanjutnya peranan Sultan Negeri berkenaan pula untuk melantik Menteri Besar (MB),” katanya di Facebook.
Bagaimanapun, Azam menjelaskan, Menteri Besar yang dilantik mestilah melepasi syarat undi percaya terhadapnya di Dewan Negeri nanti.
“Hanya ada 1 syarat sahaja kepada Baginda. Orang yang Baginda nak lantik sebagai MB itu mestilah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pada pendapat Baginda, si polan berkenaan akan memperolehi sokongan majoriti Adun lain sebagai MB.
“Maka buat masa ini, Baginda berpendapat, Onn Hafiz yang boleh mendapat sokongan majoriti Adun Johor.
“Adun-Adun Johor boleh sahaja mengundi tak percaya kepada Onn selepas ini.
“Jika itu berlaku, maka Onn akan kehilangan jawatan MB beliau dan Baginda perlu membuat lantikan MB baru dengan syarat yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, Azam berkata, dia percaya tiada siapa pun yang akan tampil mencadangkan usul undi percaya kepada Onn nanti.
“Cuma berani atau tak Adun Johor mengundi tak percaya terhadap Onn? Itu isu lain.
“Kerana undi tak percaya terhadap Onn boleh di anggap tak suka kepada pilihan Sultan,” katanya. – Malaysiapost

