Hanya yang sabar, istiqamah dapat terus berjuang bersama PAS

0
2
https://www.facebook.com/146911248727335/photos/pb.100044222510324.-2207520000../4305409722877446/?type=3

PAS menentang segala keburukan dan kemungkaran termasuk rasuah, salah tadbir urus dan salah laku yang berleluasa, kata Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang.

Justeru, katanya, PAS tidak boleh berta‘awun bagi tujuan yang salah dan terpesong daripada prinsip parti walaupun ditawarkan kerusi, jawatan, harta dan sebagainya.

Beliau berkata, politik wang dan pangkat diharamkan dalam PAS dan ahli yang setia tetap beristiqamah dan bersabar, walaupun tidak mendapat sokongan masyarakat yang tidak memahami.

“PAS berwawasan keredaan Allah daripada dunia sehingga akhirat, bukan sekadar mencari publisiti bagi memenangi pilihan raya dan mendapat kerusi atau jawatan tanpa prinsip dan akhlak.

“Lebih-lebih lagi jika membisu terhadap kemungkaran dan perpecahan yang memburukkan keadaan umat dengan menipu masyarakat umum,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Katanya lagi, PAS dan pendukungnya yang setia, sedia bersabar walaupun memakan masa yang panjang dan hanya mereka yang sabar dan beristiqamah dapat melangsungkan perjuangan bersama PAS.

“Mereka yang tidak ikhlas dan istiqamah akan terkeluar atau dikeluarkan daripada PAS.

“PAS banyak pengalamannya sejak ditubuhkan sebelum kemerdekaan lagi, ketika ramai yang menyerah kalah kepada penjajah dan ada yang paling ekstrem melawannya.

“Sehingga dalam arena politik selepas merdeka, PAS mengambil pendekatan konsep demokrasi tanpa kekerasan dalam negara sendiri dan masyarakat bersaudara walaupun bermasyarakat majmuk,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, PAS juga mengambil pendekatan bermuamalat dengan pihak lain daripada jemaahnya, sama ada Islam ataupun bukan Islam.

Malah, katanya, PAS juga berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan umat manusia, termasuk mereka yang bukan Islam dalam masyarakat majmuk melalui Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Umno dan lain-lain.

Katanya, usaha pihak yang mahu merosakkan pendekatan ini dapat disingkirkan sepanjang perjalanannya, sehingga PAS langsung tidak rebah tersungkur.

“Mereka yang tersungkur ialah mereka yang mengacau perjalanannya, sama ada yang menipu, ekstrem, ataupun tiada kebijaksanaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAS mewajibkan ahlinya supaya tidak berganjak dengan dasarnya yang termaktub dalam Perlembagaan parti di bawah Majlis Syura Ulama (MSU).

Katanya, Majlis Syura juga diberikan kuasa untuk mengawal segala pendekatan dan strategi yang diberikan hak kepada Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat supaya tidak terpesong.

“Namun, tidak boleh berlawanan antara MSU dengan AJK PAS Pusat dan tidak boleh dilagakan oleh mana-mana pihak kerana diketahui sempadan masing-masing mengikut perlembagaan dan adab berjemaah yang ditarbiah.

“Sesiapa yang gagal dalam tarbiahnya, maka akan tersingkir atau disingkirkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here