Kerajaan perlu tampung RM17 bilion hutang 1MDB – Tengku Zafrul

0
2

KEMENTERIAN Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan dana awam masih perlu digunakan dan pernah digunakan untuk menanggung hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata setakat 28 Februari 2022 baki komitmen hutang 1MDB yang melibatkan bayaran prinsipal serta faedah tiga bon dan satu sukuk adalah sebanyak RM38.8 bilion.

“Kerajaan dari April 2017 hingga November 2021 telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah lebih RM10 bilion bagi tujuan membayar komitmen dan faedah hutang 1MDB.

“Selain daripada bantuan kewangan langsung daripada kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai dengan menggunakan Dana Pemulihan Aset 1MDB melalui akaun amanah di bawah MOF diberi nama Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset.

“Ini bermakna jumlah pembayaran telah dibuat kerajaan adalah sebanyak RM13.31 bilion,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab persoalan dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen sepanjang membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Tengku Zafrul memaklumkan, pada masa ini dana akaun amanah yang masih berbaki sebanyak RM15.76 bilion, tidak mencukupi untuk melunaskan kesemua prinsipal hutang 1MDB.

Beliau berkata, mengambil kira dana penyelesaian yang bakal diterima melalui Ambank sebanyak RM515 juta, serta baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak USD954 juta, kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana berjumlah RM17 bilion.

Menurutnya, penebusan awal terbitan bon 1MDB yang dikatakan menjimatkan bayaran faedah juga bukannya perkara mudah, kerana ia perlu persetujuan pemegang bon dan melibatkan aspek undang-undang yang rumit serta keperluan untuk mereka bersetuju dengan harga penebusan awal.

Katanya, kerajaan akan terus memastikan hutang 1MDB dibayar pada masa ditetapkan bagi mengelakkan implikasi buruk pada ekonomi negara kerana hutang-hutang kerajaan dijamin oleh kerajaan Malaysia.

“Kerajaan akan berusaha mendapatkan semula dana 1MDB yang telah diseleweng sama ada melalui tindakan undang-undang mahupun rundingan penyelesaian bagi melunaskan hutang 1MDB dan mengurangkan beban kewangan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, mengenai pengambilalihan IPP swasta oleh 1MDB yang dikatakan menjimatkan wang dan menambahkan rizab tunai Petronas, beliau berkata Petronas bukan dalam kedudukan untuk memberi sebarang ulasan mengenainya.

Beliau berkata, Petronas mematuhi pembaharuan dasar penentuan harga gas kepada IPP yang dikuatkuasakan kerajaan sejak Mei 2011 dimana harga gas dijadualkan untuk kenaikan setiap enam bulan sehingga mencapai harga pasaran.

“Namun begitu jadual itu tidak dilaksanakan seperti yang dirancangkan dan dasar penentuan harga gas ini tidak berkait dengan rangka penstrukturan moden IPP di Malaysia sama ada melibatkan 1MDB atau sebaliknya.

“Jadi pembangunan gas asli masih memerlukan pelaburan besar yang berterusan dimana Petronas menggalas tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kelangsungan bekalan gas untuk sektor tenaga dan industri di Malaysia.

“Petronas bukan dalam kedudukan untuk memberi sebarang ulasan pada masa ini berkaitan dengan pengambilalihan IPP oleh 1MDB yang telah menjimatkan wang untuk kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here