Polis syak Eric Chang dibunuh, mayat dibuang di Muara Tebas

0
3

KANAK-KANAK lelaki, Eric Chang Wei Jie, 4, yang hilang sejak seminggu lalu dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke Sungai Sarawak di Muara Tebas di Kuching, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata polis mengklasifikasikan semula kes itu daripada Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, ia berikutan penahanan dua suspek utama iaitu penjaga kanak-kanak terbabit di Jalan Daya Bintawa di Kuching dan tahanan reman diteruskan bagi siasatan lanjut.

“Usaha pencarian mangsa difokuskan di sekitar perairan Muara Tebas dengan bantuan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini memandangkan ia masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 7 Mac lalu, ibu Eric, Dynasty Chang Ka Hui, 25, membuat laporan polis di Balai Polis Bintawa berhubung kehilangan anak lelakinya itu pada 9.15 pagi.

Pengasuh kanak-kanak itu yang juga salah seorang suspek menghubungi ibu mangsa dan mendakwa kanak-kanak itu hilang di sekitar Bintawa Village. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here