PENEMPATAN bagi 4,828 lagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 bagi pengambilan khas secara one-off akan diumumkan pada 18 Mac ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kesemua guru berkenaan akan mula melapor diri pada 4 April 2022.
“Semakan penempatan masing-masing boleh dibuat bermula pada 18 Mac ini menerusi portal e-Graduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di pautan https://egraduan.moe.gov.my.
“Pelaksanaan inisiatif pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang ini adalah antara usaha menangani isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengucapkan tahniah kepada kepada guru-guru baharu berkenaan dan berharap mereka akan melaksanakan amanah sebagai warga pendidik dengan ikhlas.
“Tahniah. Selamat maju jaya dan selamat bertugas kepada semua guru baharu yang akan memulakan tugas.
“Laksanakanlah amanah sebagai guru dengan bekerja seikhlas hati demi kecemerlangan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya. – Malaysiapost

