2 lelaki parah ditembak, kereta rempuh pelajar sekolah

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

DUA lelaki cedera parah dengan kesan tembakan di beberapa bahagian badan di hadapan Sekolah Menengah Telok Datok, Banting, tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat, berkata kejadian jam 12.45 tengah hari itu dipercayai berlaku selepas mangsa ditembak suspek yang menunggang motosikal.

“Sebuah motosikal dinaiki dua suspek lelaki dipercayai mengekori dan melepaskan tembakan ke arah kereta BMW dipandu seorang lelaki yang juga ‘bodyguard’ kepada kepada seorang lelaki.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa terkena beberapa das tembakan di dada dan beberapa bahagian badan. 

“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Banting, Selangor dan masih diberi rawatan kecemasan,” katanya menerusi kenyataan.

Fadzil berkata, semasa mangsa melalui hadapan sekolah selepas kejadian itu, kereta mereka merempuh beberapa pelajar sekolah menengah dan beberapa kereta. 

“Sehingga kini tiga pelajar mengalami kecederaan dipercayai dirempuh kenderaan pada bahagian kaki dan leher. 

“Ketiga-tiga mangsa masih dirawat di hospital bagi mengenalpasti kecederaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, saspek sedang dikenalpasti dan kejadian dipercayai pergaduhan antara dua kumpulan,” katanya. – Malaysiapost