Tanah runtuh : ‘Lorong belakang rumah ambo’ – Sabri Yunus

0
2

PELAKON dan pengarah, Sabri Yunus memaklumkan tanda-tanda awal kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang mula dikesan sejak akhir tahun lalu.

Sabri berkata, tragedi  itu yang menimbus 15 rumah semalam berlaku di lorang belakang rumahnya, dan yang terkini empat mangsa disahkan maut.

Katanya, salah seorang mangsa di kawasan perumahan itu mengesan masalah di cerun berhadapan rumahnya pada 26 Disember tahun lalu dan telah membuat aduan kepada pihak berwajib.

“Pihak berkenaan telah pun datang untuk meninjau masalah itu.

“Khabarnya dalam hujan lebat petang tadi (semalam) ada pihak sedang bekerja di atas bukit yang runtuh itu.. mungkin sedang baiki masalah yang dikatakan itu,” kongsinya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Sabri, tragedi tanah runtuh itu berulang kembali kerana pernah berlaku kejadian sama kira-kira 40 tahun lalu di kawasan terbabit.

Tambahnya, ketika itu terdapat rumah setinggan di kawasan tersebut, dan tanah rumah menimbus beberapa rumah mengakibatkan mangsa tidak ditemui sehingga kini.

“Kes itu tersiar dalam surat khabar, saya baca tapi tak tahu di mana berlaku… tahun 1994 bila saya pindah ke taman perumahan ini, saya diberitahu oleh jiran jiran akan kes ini. Masa tu Taman Bukit Permai 2 ini belum wujud,” katanya lagi.

Sebagai penduduk yang menetap lama di kawasan berkenaan, Sabri berkata Taman Bukit Permai 2 dahulunya kawasan lembah dan terdapat sungai kecil mengalir sebelum ditimbus untuk dijadikan rumah.

“Dulu hutan yang cantik… ada pokok petai dan waktu pagi bunyi ungka,” ujarnya.

Empat mangsa disahkan maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, yang berlaku petang semalam.

Mangsa keempat dan kelima telah ditemukan malam tadi dan disahkan meninggal dunia. Kedua-kedua lelaki itu merupakan korban ketiga dan keempat dalam insiden tanah runtuh.

Sebelum itu seorang wanita warga emas dan seorang lelaki turut maut manakala seorang lelaki lain cedera.

Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa ditamatkan pada awal pagi ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here