KEJADIAN pelanggan sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan menyerbu tempat jualan ikan Mabong tanpa penjarakkan fizikal yang tular di media sosial, hari ini hanya berlaku untuk tempoh kira-kira 10 minit sahaja.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bahru, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 16 saat tular di media sosial pada jam 3 petang hari ini yang memaparkan sekumpulan orang ramai berebut mendapatkan barangan keperluan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku tanpa penjarakkan fizikal dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
“Semakan mendapati kumpulan pelanggan bersesak di tempat jualan ikan Mabong disebabkan pelanggan berebut untuk mendapatkan ikan yang dijual dengan harga yang sangat murah iaitu RM0.10 seekor sebaik sahaja selesai majlis perasmian pembukaan pasar raya berkenaan.
“Walaubagaimanapun, kejadian tersebut yang berlaku lebih kurang 10 minit telah diambil tindakan pantas oleh pihak pengurusan pasar raya Mydin dengan menamatkan tawaran tersebut dan keadaan kembali terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan isu tersebut dan sentiasa mematuhi SOP semasa di tempat awam.
Pasar raya Mydin Tunjong, Kota Bahru dibuka secara rasmi hari ini menjadikannya cawangan ke-67 dan yang terbesar di Malaysia. – Malaysiapost

