PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdoa dan berharap mangsa-mangsa yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, Selangor dapat dicari dan diselamatkan.
Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan kerja-kerja menyelamat secara pantas dan dalam usaha mencari mangsa.
“Saya mendapat berita sedih mengenai kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, Selangor.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat terus melakukan kerja-kerja menyelamat secara pantas dan dalam usaha mencari mangsa. Kejadian ini mengakibatkan 15 buah rumah dan 10 kenderaan terjejas.
“Sama-sama kita berdoa semoga mangsa-mangsa yang masih dicari itu dapat diselamatkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu 15 rumah dilaporkan mengalami kerosakan dengan empat mangsa dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, empat kediaman dikatakan tertimbus sepenuhnya, manakala baki yang lain separa terjejas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata berdasarkan maklumat awal saksi menyatakan terdapat empat mangsa masih hidup berkemungkinan tertimbus dalam kejadian ini. – Malaysiapost09:22 PM

