PH tawar Ismail Sabri MoU 2.0

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditawarkan memorandum persefahaman (MoU) 2.0 oleh Pakatan Harapan (PH) bagi mengekalkan kepimpinannya sehingga akhir tempoh penggal Parlimen ini.

Tawaran itu dimaklumkan Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP, mencadangkan perkara itu kepada Ismail Sabri (BN-Bera) supaya beliau tidak tunduk dengan tekanan agar diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

“Apabila sampai masanya pilihan raya, kita serahkan kepada rakyat untuk buat pilihan. Kita akan bertanding dan lawan Barisan Nasional (BN), tetapi pada ketika ini memang bukannya satu masa yang sesuai untuk buat pilihan raya.

“Dalam PRN Johor sekarang ini lima daripada 14 calon DAP positif Covid-19. Covid-19 ini bukan serang DAP sahaja, begitu juga pihak lain akan kena juga.

“Pokoknya sekarang bukan masanya untuk buat pilihan raya dan saya nak mencadangkan kepada Yang Berhormat (YB) Bera supaya jangan tunduk tekanan daripada Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.

Anthony Loke mendakwa, Ahli Parlimen Bagan Datuk pasti akan memberi tekanan untuk mengadakan PRU secepat mungkin.

“Kita tahu bahawa Bagan Datuk akan tekan..minggu depan akan tekan buat pilihan raya dan bubar Parlimen.

“Saya nak sarankan kepada YB Bera selepas kita luluskan pindaan Perlembagaan berkenaan dengan lompat parti. Kita boleh bincang untuk melanjutkan MoU selepas 31 Julai ini. Atau kita boleh nyatakan bahawa satu MoU 2.0

“Kita boleh ada perjanjian, sementara waktu ini Covid-19 belum reda, belum selesai, kita tangguhkan pilihan raya mungkin sehingga akhir tempoh Parlimen ini,” katanya.

Beliau berkata, ia boleh dilaksanakan sekiranya Ismail Sabri menepati apa yang dijanjikan dalam MoU bersama pembangkang sebelum ini dan dalam perjanjian atau syarat-syarat lain perlu dibincangkan.

“Kalau betul YB Bera mengatakan kerajaan Keluarga Malaysia…pastikan konsep dan semangat Keluarga Malaysia ini bukan sahaja untuk satu tempoh yang pendek tetapi ini diserapkan dalam minda kita, dalam dasar-dasar kerajaan dan dalam agenda pembangunan negara kita.

“Itu sebabnya saya mengharapkan apa yang telah dilaksanakan melalui MoU ini akan menjadi satu teladan kepada rakyat bahawa demokrasi negara kita ini boleh subur.

“Kita boleh lawan dalam pilihan raya tetapi ia tidak menafikan bahawa ada ruang untuk kita bekerjasama antara kerajaan dan pembangkang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here