DATUK Seri Najib Razak meminta Kementerian Kewangan (MOF) segera menekan butang bagi membenarkan pengeluaran kali terakhir simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bekas Perdana Menteri itu berkata dengan segera susulan ramai pihak kini menyokong pengeluaran berkenaan.
“Sebelum ini, PH (Pakatan Harapan), PPBM (Bersatu) dan PAS tak sokong pengeluaran khas buat kali terakhir KWSP. Sebelum ini, hanya Umno yang perjuangkan tanpa henti.
“Sekarang masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, PH, PPBM dan PAS sudah sokong. Dulu, syarat puteri Gunung Ledang. Kini, “impossible is nothing” bak kata pepatah Adidas.
“Tak apa. Asalkan rakyat yang masih terjejas dan belum pulih walaupun ekonomi dibuka semula diberi kelonggaran ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menambah, memandangkan dividen KWSP bagi tahun 2021 telah diumum dan dibayar, ini adalah masa paling tepat untuk melaksanakan pengeluaran terakhir KWSP.
“Sebelum Ramadan dan Raya. MOF, sila tekan butang. Just do it, kata Nike (bukan Nika, ya).
“Lepas ini, kita fokus pada memulihkan simpanan KWSP bagi golongan dengan baki akaun yang rendah,” katanya lagi.
Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyatakan beliau kini mendukung agar pengeluaran KWSP dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi.
Beliau turut menggesa kerajaan mengambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum. – Malaysiapost

