Anak Shakilla Khoriri positif Covid-19

0
3

“SATU batu besar seperti menghempap atas kepala selepas mendengar ayat doktor,” itu gambaran perasaan pelakon Shakilla Khoriri, apabila puteri kesayangan, Ameena Sofia disahkan positif Covid-19.

Shakilla atau nama sebenarnya Nurul Shakilla Mohd Khoriri berkata, hatinya berasa tidak tenteram sejak beberapa hari lalu ketika Ameena bersama bekas suaminya, Fizi Ali.

Katanya, naluri seorang ibu ini tepat apabila dia mengambil Ameena di rumah Fizi malam semalam, dan mendapati anaknya itu berada dalam keadaan tidak sihat.

“Beberapa hari masa Ameena duduk dengan daddy dia, rasa macam ada sesuatu tak kena. Mimpi dia masuk hospital dua hari berturut-turut. Malam tadi masa ambil dia dari Fizi, dalam hati saya cakap anak saya tak okey.

“Dia mula muntah sejak malam tadi sampai ke pagi ini. Hati saya kuat cakap, ‘habislah anak aku kali ini’.

“Pagi ini Ameena bangun tak sempat sarapan, bawa dia ke klinik buat ujian calitan dan dapat jawapan yang buat saya betul-betul kecewa. Dia positif, saya negatif,” tulisnya dalam hantaran Instagram.

Pelakon drama ‘Saat Kau Takluk Cinta Ini’ itu berkata, selepas dimaklumkan berita tersebut, hati dia berasa sangat sedih sehingga mahu menggantikan tempat Ameena.

Bagaimanapun, katanya, dia perlu berfikiran positif dan percaya semua yang berlaku ini ada hikmah sebaliknya.

“Dalam hati fikir macam mana saya nak ganti tempat dia. Biar saya (yang sakit).

“Tapi saya percaya. Semua ini ada hikmah. Minggu depan Ameena masuk tiga tahun. Sedang saya sibuk siapkan sambutan hari lahir dia tapi diduga dengan ujian begini. Allah tahu yang sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Fizi menerusi Instagram miliknya turut memohon maaf sekiranya anaknya jatuh sakit berpunca daripada kekhilafan dirinya.

“Sorry sayang daddy tak ada dengan awak. Jangan risau umi awak akan jaga awak. Daddy doakan awak cepat sembuh. Maafkan daddy, kalau daddy punca awak sakit. Jaga diri sayang. Doakan Ameena cepat sembuh dari virus ini,” katanya.

Shakilla dan Fizi yang merupakan penyampai radio di stesen Suria FM mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018, namun mengesahkan sudah bercerai pada Disember tahun lalu.

Ameena Sofia merupakan anak hasil perkongsian hidup pasangan tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here