Rapat saf solat diteliti sebaiknya – Zulkifli

0
2

AHLI Dewan Negara Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yakin usul agar saf solat dirapatkan semula di masjid dan surau seluruh negara sedang diteliti sebaiknya di peringkat Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), turut menyokong sepenuhnya usul berkenaan.

“Saya yakin usul ini sedang diteliti sebaiknya di peringkat Pihak Berkuasa Agama Negeri berdasarkan Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada pada ruang lingkup dan bidang kuasa negeri yang tertakluk di bawah Pihak Berkuasa Agama Negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkara itu telah ditegaskan semasa masih menjawat jawatan Menteri mengenai hukum penjarakan ketika solat berasaskan kepada sebab (‘illah) iaitu wabak Covid-19 yang memuncak sebelum ini dan kadar vaksinasi yang masih rendah.

“Apabila keadaan sebaliknya berlaku, maka wajarlah hukum penjarakan ketika solat disemak semula dan dipertimbangkan untuk dimansuhkan. Ini berdasarkan kaedah fiqh: Apabila ternafinya ‘illah, maka ternafilah hukum berkenaan.

“Penegasan ni saya jelaskan dalam mukasurat 45, Majalah al-Bayan Siri 6 Isu Penjarakan Fizikal Semasa Solat Berjemaah di Masjid dan Surau keluaran November 2020 yag diterbitkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Beliau berpendapat sudah pasti usul yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan, adalah hasil daripada komitmen yang baik dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, ia termasuk ia termasuk dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), PICK Remaja, dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) di seluruh negara.

“Berdasarkan daripada 26,856 kes harian yang dilaporkan pada 7 Mac 2022, jumlah pesakit Kategori 1 adalah 37.83 peratus manakala pesakit kategori 2 adalah 61.47 peratus.

“Manakala kadar sembuh juga mencatatkan peratusan yang membanggakan iaitu 90.8 peratus. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata, jika diteliti apa yang telah diamalkan di negara-negara dunia dalam kalangan negara umat Islam, usaha merapatkan saf telah pun dijalankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di Arab Saudi baru-baru ini.

“Saya juga ingin menyarankan kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk mengekalkan Prosedur Standard Operasi (SOP) asas seperti pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan sebagai langkah pencegahan.

“Kita perlu terus menjadikan masjid dan surau sebagai contoh terbaik pelaksanaan dan pematuhan SOP. Semoga Malaysia terus aman sejahtera dan pulih daripada wabak Covid-19,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini, mengumumkan negara akan beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini.

Beliau mengumumkan antara perkara yang dibenarkan adalah solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dalam Fasa Peralihan Endemik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here