Sindiket penipuan sering guna alasan siasatan pengubahan wang haram

0
2

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan modus operandi yang sering digunakan sindiket penipuan Macau scam adalah dakwaan pembabitan mangsa dalam siasatan kes pengubahan wang haram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata berdasarkan rekod bagi tahun 2021, sejumlah 1,585 kes telah disiasat membabitkan kes penipuan Macau scam.

Menurutnya, bagi tahun ini pula, sehingga Februari lalu, sejumlah 557 kes telah dicatatkan dan melalui siasatan yang dijalankan, polis mendapati antara modus operandi yang sering digunakan adalah dakwaan penglibatan mangsa dalam siasatan kes pengubahan wang haram.

“Suka diingatkan, siasatan berkaitan kes jenayah pengubahan wang haram yang dijalankan oleh pihak polis adalah dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram, JSJK Bukit Aman.

“Polis tidak akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon semata-mata. Saksi yang berkaitan akan dikehendaki untuk hadir di pejabat Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara lain polis juga tidak akan sewenang-wenangnya membekukan atau menyita akaun bank milik sesiapapun.

“Tindakan tersebut hanya akan dilakukan setelah siasatan yang dijalankan menemui bukti dan keterangan yang benar-benar mencukupi.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan adalah dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here