PENGANJUR ‘Santai Bersama Bossku’ dan pemilik restoran tempat program itu diadakan dipanggil polis berhubung kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kluang, Low Hang Seng, berkata pihaknya telah mengesan satu rakaman video tular berdurasi 15 saat yang dimuat naik pemilik akaun Facebook ‘Malaysia Negara Ku’.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara khusus individu dan parti politik yang terlibat.
Hang Seng merujuk kepada rakaman video 15 saat yang dimuat naik di Facebook, yang menunjukkan kehadiran yang ramai di Ngepot Kabin, sebuah restoran popular di Kluang, Johor.
“Video itu jelas memaparkan satu majlis membabitkan sebuah parti politik sedang berkumpul di sebuah premis di Kampung Masjid Lama, Kluang, Johor yang dipercayai diadakan pada 5 Mac, lebih kurang jam 9 malam.
“Hasil pemantauan video jelas menunjukkan aktiviti tersebut telah melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan tidak melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan ketua pengarah kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Hang Seng menjelaskan, pemilik restoran dan penganjur program telah dikenal pasti dan dipanggil ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kluang untuk siasaan lanjut.
Beliau turut menggesa semua parti politik dan penyokong agar mematuhi SOP bagi menangani wabak Covid-19.
Pada 5 Mac lalu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkunjung ke Ngepot Cabin bagi sesi pertemuan dengan penyokong.
Turut hadir adalah calon BN bagi DUN Mengkibol Kelly Chye Pei Yee.
Program itu turut menampilkan persembahan secara langsung dan hadirin kebanyakannya memakai pakaian dengan warna biru BN. – Malaysiapost

