HUJAN lebat luar biasa punca berlaku banjir kilat di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, petang semalam.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Fatuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata hujan lebat berterusan selama dua jam menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran air dalam kapasiti tinggi.
Beliau berkata, hujan lebat itu dari jam 2.30 petang menyebabkan bacaan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa Smart (106.5mm) dan Stesen Air Panas (155mm).
“Aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak adalah pada aras bahaya dengan bacaan 31.99mm manakala bacaan Sungai Gombak di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak masing-masing berpada pada paras 30.38mm dan 30.12mm,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, dianggarkan 103 rumah di sekitar Kampung Periuk dan Kamping Pasir Baru terjejas.
Katanya, semua infrastruktur sistem kawalan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Lencongan Terowong Smart diaktifkan kepada mod 2B pada jam 3.40 petang, mod 2 pada 3.58 petang dan seterusnya mod 3 pada jam 4.44 petang,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, bagi mengurangkan risiko banjir, JPS Wilayah Persekutuan sedang melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpur termasuk Kolam Takungan Batu.
“Orang ramai dinasihat sentiasa berhati-hati dan peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.
“Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya. – Malaysiapost

