Azmin nafi sokong calon Warisan

0
3

KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) seperti video ucapan yang tular.

Azmin sebaliknya menegaskan, ucapan itu dibuat ketika beliau berkempen untuk membantu calon Warisan yang merupakan sekutu Pakatan Harapan (PH), ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Januari lalu.

Katanya, penyebaran ucapan itu diulang semula beberapa jam sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Ini membuktikan Warisan berada dalam situasi kian terdesak untuk mendapatkan sokongan.

“Saya mengajak semua pengundi di Sabah untuk memberi sokongan kuat dan padu kepada calon PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN esok,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau telah menjelajah hampir seluruh Sabah sepanjang tempoh kempen termasuk pedalaman dan melihat sokongan utuh rakyat kepada PN dan rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu menuntut perubahan.

Justeru, beliau yakin rakyat Sabah mendambakan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan mereka. – Malaysiapost