TENAGA Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan beberapa pencawang elektrik di kawasan yang terjejas akibat hujan dan banjir kilat yang berlaku sejak petang tadi.
Antara Kawasan terlibat termasuk Royal Cendana, Bukit Aman, Hospital Tang Lin, Jabatan Kesihatan Daerah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jalan Kebun Bunga, Jalan Young Stat, Pejabat Perancang Selangor, Banyan Tree Signature Jalan Conlay, Bukit Bintang serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Menerusi hantaran di Facebook, TNB memaklumkan usaha giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan itu dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
“Sekiranya banjir bertambah buruk, berisiko dan membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik berkaitan bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.
“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Simpan dokumen penting di tempat selamat dan kesabaran serta keprihatinan anda amat dihargai,” katanya.
Terdahulu, akibat hujan lebat hampir dua jam di sekitar Lembah Klang petang tadi menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir kilat. – Malaysiapost

