Banjir kilat: PM arah kementerian, agensi ambil langkah segera demi keselamatan rakyat

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kementerian dan agensi berkaitan telah diarah mengambil langkah segera susulan kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur, petang ini.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook, Ismail Sabri berkata, sebanyak enam kawasan di Pusat Bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air.

“Kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia.

“Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, beberapa kawasan sekitar Lembah KIang termasuk ibu kota mengalami banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam petang ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan beberapa laluan termasuk Besraya Expressway membabitkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan Kampung Malaysia ke Kuchai ditenggelami banjir.

Banjir kilat yang melanda Lebuhraya Kesas pula menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.

Serentak itu juga, Terowong SMART ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi untuk membolehkan ia mengalirkan air akibat banjir yang melanda.

Banjir yang melanda menyaksikan ribuan kereta yang letakkan di parkir terbuka dan bawah tanah dalam bangunan sekitar ibu kota ini turut ditenggelami banjir.

Sementara itu, lebih 50 rumah dikesan terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan di sekitar Selangor, petang ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here