PENERIMAAN rakyat Johor terhadap kebangkitan Barisan Nasional (BN) sangat baik, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, ia berdasarkan program serta sesi perjumpaan dengan jentera di pelbagai bahagian selepas seminggu berlalu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, sokongan terhadap BN tambah meningkat setelah rakyat meneliti manifesto dibentangkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Hasni Mohamad.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan analisisnya, parti-parti lain bukan sahaja tiada calon Menteri Besar berbanding BN yang menamakan Hasni, malah manifesto dikemukakan tidak menyerlah.
“Berdasarkan tawaran dibentangkan BN dan parti-parti lain, saya perhatikan ada tiga perkara paling menyerlah.
“Pertama, manifesto BN setakat ini paling progresif. Kita sarat dengan agenda pembaharuan. Malah BN Johor menawarkan strategi jelas untuk kita memastikan wujudnya kestabilan politik.
“Jadi saya tidak hairan beberapa cadangan kita turut dicedok oleh Pakatan Harapan (PH). Misalnya, cadangan untuk memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti – sesuatu yang pastilah dirisaukan oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Kedua, menurut Ahmad Zahid, manifesto BN adalah sesuatu yang sudah mempunyai asas pelaksanaan dan bersandarkan kepada keperluan sebenar Johor.
Katanya lagi, ia bukan sekadar mengulang-ulang inisiatif di peringkat nasional dan terus-menerus memainkan sentimen Kluster Mahkamah umpama menjerit surat khabar lama.
“Ketiga, nampaknya parti-parti yang cuba menandingi BN sudah sangat kekeringan idea untuk menentang kita. Lebih menyedihkan, MUDA, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Warisan langsung tidak mengemukakan sebarang tawaran jelas. Pada saya ini sangat tidak bertanggungjawab.
“Manakala, manifesto oleh parti bertanding paling banyak kerusi iaitu Pejuang adalah sesuatu yang saya sifatkan sekadar asal dapat bertanding.
“Terlalu jelas bahawa tawaran Pejuang hanyalah sekadar penyataan kosong bersifat terlalu umum, ‘asal ada’ dan tidak progresif. Ini sesuai dengan pegangan pemimpin besar mereka, manifesto bukan kitab suci. Ia boleh dilanggar dan dimungkiri mereka sesuka hati,” katanya. – Malaysiapost

