Calon MB PN diputuskan esok – Hamzah

0
2

CALON Menteri Besar Perikatan Nasional (PN) jika gabungan parti itu berjaya mendapat mandat membentuk kerajaan di Johor pada 12 Mac ini perlu melepasi kriteria tertentu khususnya dalam aspek integriti dan kebolehan pengurusan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengakui parti itu sudah mempunyai beberapa senarai calon, berkata Majlis Tertinggi PN sedang menilai pemimpin terbaik yang boleh diangkat sebagai Menteri Besar sebelum ia diputuskan pucuk pimpinan itu.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi PN akan mengadakan mesyuarat esok untuk meneliti senarai calon yang berkelayakan sebelum ia dimuktamadkan.

“Buat masa ini kita sedang menilai dari segi sokongan seluruh calon kita yang ada…kita akan umumkan tak lama lagi apabila keputusan dibuat Majlis Tertinggi PN.

“Kita adakan mesyuarat esok dan selepas itu pastikan siapa yang lebih baik untuk diketengahkan sebagai calon Menteri Besar.

“(Senarai) tak ramai sebab nak memilih jadi Menteri Besar ini mesti melihat dari segi kriteria tertentu, dari segi beliau menguruskan negeri ini, pengalaman yang ada dan paling penting soal integriti mereka itu tak boleh dipersoalkan sesiapa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri menghadiri program ramah mesra bersama calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal di pekan Pagoh, Johor.

Dr Sahruddin yang pernah menjadi Menteri Besar Johor selama 10 bulan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Johor antara disebut-sebut antara calon bagi jawatan itu.

Pada masa sama, Hamzah berkata, pihaknya mengharapkan tiada lagi kekeliruan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya membabitkan kebenaran ceramah dalam tempoh memasuki minggu kedua kempen seperti yang berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya mendapati laporan diterima membabitkan pelbagai parti yang bukan isu besar kerana kebanyakan kesalahan bersifat tuduhan terhadap parti lain.

“Oleh kerana ada kekeliruan, contohnya pada satu masa ada dikatakan tidak boleh ada ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) kemudian boleh pula ceramah di PDM, kita selesaikan dan minggu kedua ini diharap tiada lagi mereka yang langgar SOP.

“Menuduh parti lain itu biasa, yang penting bagi saya sesiapa saja jadi calon patut mempunyai sikap keterbukaan dari segi menyantuni semua pengundi yang ada di seluruh Johor ini,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kelonggaran bagi ceramah, syarahan dan kempen PRN Johor yang boleh diadakan di dalam dan di perkarangan pejabat parti serta bilik gerakan parti yang rasmi.

Selain itu, ceramah sepanjang kempen juga dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam, berkuat kuasa serta-merta berbanding hanya sehingga jam 10 malam sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here