Tindakan pantas kerajaan PN tempah vaksin, laksana PICK selamatkan nyawa rakyat – Muhyiddin

0
3

TINDAKAN pantas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menempah bekalan vaksin dan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah yang diambil kerajaan PN ketika Covid-19 mula melanda negara itu, sekali gus menyaksikan hampir 98 peratus penduduk dewasa sudah menerima vaksin setakat ini.

“Langkah ini ternyata berjaya memulihkan kehidupan rakyat dan merancakkan kembali pelbagai sektor kehidupan terutama sektor ekonomi dan sosial negara,” katanya menerusi Facebook.

Tedahulu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, beliau berpeluang berjumpa kira-kira 300 warga pendidik dalam Majlis Dialog Bersama Warga Pendidik di Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Menurutnya, dalam majlis yang itu beliau juga mendengar pandangan dan cadangan yang dibangkitkan oleh warga pendidik selain menjawab soalan-soalan dikemukakan mereka.

“Antara isu yang dibangkitkan ialah keupayaan kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian di sekolah, cabaran guru dalam era pandemik dan vaksinasi dalam kalangan murid dan ibu bapa.

“Beberapa pengetua dan guru besar membangkitkan sikap segelintir ibu bapa yang masih enggan membenarkan anak-anak mereka divaksinasi.

“Keadaan ini sudah tentunya mengundang risiko jangkitan bukan hanya kepada murid atau pelajar yang enggan divaksin tetapi juga kepada guru dan murid yang telah lengkap menerima dua dos dan dos penggalak,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, mereka meminta agar kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin kepada pelajar bagi menyelesaikan masalah ini.

“Sebagai Pengerusi MPN, saya mengambil maklum semua perkara yang dibangkitkan.

“Saya menjelaskan kerajaan setakat ini tidak mewajibkan pengambilan vaksin dan isu ini boleh ditangani dengan cara memperbanyakkan sesi penerangan secara saintifik dan menggunakan data Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya yakin dan percaya pengalaman mengajar dalam era pandemik Covid-19 menjadikan golongan guru dan pendidik sentiasa bersedia berhadapan cabaran baharu dalam bidang pendidikan pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here