SUHU Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertambah panas apabila Ketua Bahagian Bersatu Mersing, Laili Yusof mengumumkan keluar parti, hari ini.
Mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Bersatu, menjadi punca Laili membuat keputusan berkenaan.
Pengumuman itu dibuat pada majlis makan tengah hari yang turut dihadiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak; Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, calon Barisan Nasional (BN) DUN Endau, Youzaimi Yusof dan beberapa pucuk pimpinan parti itu.
“Sejujurnya saya dan rakan-rakan sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti. Parti Bersatu sudah lari daripada prinsip asal penubuhan.
“Bagi kami parti Bersatu sudah tiada lagi hala tuju yang kukuh dan kami rasakan bahawa penyertaan dan pengorbanan kami untuk membela rakyat hanya sia-sia saja, malah hanya menguntungkan beberapa pihak tertentu saja,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut Laili, langkah itu dibuat selepas mendapati terlalu banyak konflik dalaman yang berlaku selain melihat Bersatu telah lari daripada prinsip asal mereka.
“Walaupun keputusan nampak terburu-buru ketika PRN berlangsung, tetapi ia terpaksa diambil kira kerana saya telah hilang kepercayaan terhadap pimpinan parti.
“Pelbagai permainan dalaman yang berlaku menyebabkan Bersatu dan kami merasakan Bersatu telah hilang hala tuju yang jujur dan perjuangan untuk bela nasib rakyat sebelum ini hanya sia-sia.
“Kenyataan ini juga untuk sampaikan hasrat untuk kembali ke landasan asal (BN) sekali gus mengumumkan sokongan terhadap calon-calon BN di Mersing,” katanya.
DUN Endau sebelum ini juga berdepan kontroversi sama apabila penyandang sebelum ini, Alwiyah Talib membuat keputusan untuk menyertai Bersatu selepas memenangi kerusi itu atas tiket BN.
Alwiyah bakal menerima tentangan daripada calon BN Mohd Youzaimi Md Yusof; Mohamad Fakrulradzi Mahmud (PH), Noorhisyam Ibrahim (Pejuang) dan calon Bebas, Ismail Don. – Malaysiapost

