52 kenderaan terbakar, polis siasat kemungkinan elemen khianat

0
2

POLIS akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kebakaran yang memusnahkan 52 kenderaan di kawasan parkir di sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri Kuala Lumpur awal pagi Jumaat termasuk elemen khianat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.21 pagi dan bomba tiba di lokasi kejadian jam 4.39 pagi sebelum kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 4.56 pagi.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kebakaran memusnahkan 48 motosikal serta empat kereta itu dipercayai bermula dari sebuah motosikal sebelum merebak ke kawasan tempat parkir motosikal berbumbung.

“Anggaran kerugian keseluruhan kebakaran tersebut dianggarkan RM300,000. Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya sebarang elemen khianat dengan api dalam kejadian terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta tampil memberikan keterangan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Baldev Singh atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here