Jangan angkuh sangat – Asyraf Wajdi

0
2

KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan pihak pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar tidak angkuh dan menafikan tuntutan rakyat mengenai pengeluaran simpanan mereka.

Tegasnya, rakyat kini sedang susah dan terdesak, malah hakikatnya hak pencarum dijamin oleh Akta KWSP 1991.

“Janganlah angkuh sangat sehingga menafikan hak pencarum yang sedang susah dan terdesak ketika ini yang hakikatnya dijamin oleh Akta KWSP 1991.

“Rujuklah balik Seksyen 54 Akta tersebut yang membenarkan pengeluaran bagi tujuan kelangsungan hidup dan kurungan (m) secara spesifik menggariskan kebenaran pengeluaran akibat pandemik,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk laporan media mengenai kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bahawa buat masa ini KWSP tidak bercadang membenarkan lagi pengeluaran oleh pencarum menerusi idea i-Ceria.

Menurut Amir Hamzah, apa yang utama sebagai pengurus dana persaraan adalah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarum.

Asyraf Wajdi menegaskan bukan semua simpanan KWSP yang ingin dikeluarkan oleh pencarum.

“Jika melihat trend i-Citra 1.0, tak sampai RM22 bilion yang mengeluarkannya.

“RM22 bilion berbanding aset pelaburan KWSP melebihi RM1 trilion bermakna hanya 2 peratus sahaja implikasi terhadap aset KWSP.

“Janganlah asyik membicarakan kehidupan hari tua jika kelangsungan hidup hari ini pun belum terjamin,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Datuk Seri Mohd Salim Sharif (BN-Jempol), ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan “i-Ceria” KWSP, iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.

Menurutnya, ia kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here