‘Saya tidak pernah hadiri sebarang mesyuarat mengenai TIA’ – Tengku Zafrul

0
2

MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner, bahawa beliau menghadiri mesyuarat mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 2009.

Tengku Zafrul, berkata beliau tidak pernah menghadiri mesyuarat itu yang diadakan bersama Ahli Perniagaan, Low Taek Jho dan individu-individu lain yang disebut dalam kenyataan tersebut.

“Merujuk kepada artikel Free Malaysia Today (FMT) berkenaan testimoni Tim Leissner dalam perbicaraan di Amerika Syarikat, saya ingin mengesahkan bahawa saya tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada tahun 2009 bersama DYMM Sultan Terengganu dan individu-individu lain yang disebut dalam kenyataan tersebut,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Terdahulu, FMT melaporkan nama Tengku Zafrul disebut dalam testimoni bekas pengurus bank Goldman Sachs yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Tim Leissner, pada perbicaraan seorang lagi bekas pengurus bank itu, Roger Ng, yang sedang berjalan di Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan, beliau yang merupakan saksi dalam perbicaraan itu menceritakan kepada Mahkamah Persekutuan di New York tentang satu mesyuarat peringkat tinggi mengenai TIA yang kemudiannya menjadi 1MDB.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat, Leissner mengambil maklum satu e-mel daripada Ng berhubung satu mesyuarat TIA pada 2009.

Dalam e-mel itu, Ng memaklumkan selain dirinya individu lain yang akan menyertai mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho; Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank, Ramli Ismail dan Tengku Zafrul, yang ketika itu merupakan pengarah di Kenanga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here