Mohd Fuad tekad perkasakan ekonomi digital di Bukit Naning

0
4

Najamuddin Mohd Nor

EKONOMI DIGITAL rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning akan diperkasakan jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara itu menjadi keutamaan calon BN Datuk Mohd Fuad Tukirin yang berpendapat, kemudahan infra jalur lebar di DUN berkenaan perlu dipertingkatkan bagi merancakkan ekonomi digital rakyat.

Katanya, pertanian merupakan kegiatan ekonomi rakyat di Bukit Naning dan kemudahan jalur lebar yang baik akan memudahkan produk-produk pertanian keluaran tempatan dipasarkan dengan lebih luas.

“Saya dapati isu berbangkit di DUN Bukit Naning ialah capaian internet yang lambat, ada kawasan masih belum menerima akses internet, kejap ada kejap tak ada.

“Jika masalah infra ini dapat ditingkatkan, saya jamin ekonomi digital di sini akan rancak, sekali gus rakyat di sini dapat meningkatkan pendapatan,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Calon Bukit Naning, Datuk Fuad Tukirin

Mohd Fuad, 53, yang juga Ketua Umno Bahagian Bakri berkata, kemudahan internet yang baik dapat membantu merangsangkan ekonomi luar bandar seperti di Bukit Naning.

“Saya mahu satu hari nanti produk rakyat Bukit Naning menjadi terkenal seluruh dunia, saya mahu lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam dunia pendigitalan.

“Saya tidak mahu produk hanya dipasarkan dikalangan kita sahaja, dalam kampung ni saja. Macam mana perniagaan mahu maju?

“Justeru, matlamat utama saya ialah meningkatkan kemudahan internet di sini, laju dan stabil demi untuk ekonomi rakyat. Saya mahu kemudahan internet yang baik dapat membantu produk anak Bukit Naning dijual di seluruh dunia,” katanya.

DUN Bukit Naning akan menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan Mohd Fuad akan turut berdepan penyandang Ysahrudin Kusni dari PKR.

Tiga lagi calon lain yang bertanding di DUN berkenaan adalah Mahadzir Abu Said (Perikatan Nasional), Datuk Ibrahim Shafe’e (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon Bebas, S Jeganathan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 12 Mac manakala undi awal pada 8 Mac. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here