Lebih 42,000 dapat kerja, 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan – PM

0
3
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media ketika melawat Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan Wangsa Maju hari ini. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

SEBANYAK 42,166 individu telah mendapat pekerjaan, manakala sejumlah 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia sekali gus mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

“Malah, kejayaan ini juga membuktikan bahawa inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini,” katanya ketika Majlis Pekerjaan Negara (National Employment Council – NEC), hari ini.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan bagi membincangkan program dan inisiatif yang telah dan akan dijalankan oleh agensi pelaksana untuk mencipta peluang pekerjaan bagi Keluarga Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengimbas kembali kejayaan yang telah dicapai pada 2021, kerajaan dengan kerjasama bersepadu pelbagai kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta telah berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan.

Katanya, pencapaian itu adalah 112 peratus daripada sasaran yang telah ditetapkan dan kerajaan yakin bahawa kejayaan berkenaan boleh diulangi dengan sasaran yang lebih tinggi bagi tahun 2022.

Di samping itu, beliau berkata, NEC juga meneliti dan membincangkan strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) merupakan langkah yang boleh diambil dalam menangani isu ini dan sokongan daripada pihak majikan juga perlu bagi mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja pasca-pandemik.

“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia mempunyai tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP),” katanya.

Tambahnya, NEC turut bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dan 80,000 di bawah MySTEP.

“Sebagaimana aturan sebelum ini, pencapaian sasaran ini akan disokong oleh lima Pasukan Petugas Khas (STF) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia diarahkan merangka strategi yang khusus bertujuan meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan belia.

Menurutnya, langkah ini penting kerana kadar pengangguran dalam golongan berkenaan berada pada tahap 80.3 peratus.

“Kerajaan turut mengulangi pendirian mengenai usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar Tingkatan 1, untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat mereka.

“Bagi tujuan ini, kempen promosi dan penjenamaan semula TVET akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua. Sebaliknya, TVET akan diperkasakan agar ia menjadi kerjaya pilihan seperti negara maju,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan sehenti yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.

“Ia merupakan pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa yang sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan tarikh temu duga.

“Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.

“Selain itu, Kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here