Najib berfantasi, perlu minta maaf – Guan Eng

0
3

DAKWAAN tanpa asas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat tidak perlu membayar satu sen pun dana awam bagi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu fantasi yang perlu ditarik balik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Ahli Parlimen Pekan itu juga perlu memohon maaf susulan dakwaannya itu di Dewan Rakyat semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak berasas.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, saya tahu bahawa ini tidak benar bagi Najib yang mendakwa hutang 1MDB tidak merosakkan kewangan negara apabila Goldman Sachs, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan dana 1MDB berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

“Najib tidak mahu mengakui dana ini dikembalikan ke Malaysia dalam bentuk penalti kerana menipu wang 1MDB dengan Goldman Sachs membayar balik USD3.9 bilion atas peranan jahat dan salah laku mereka dalam pengeluaran bon USD6.5 bilion untuk 1MDB yang telah diselewengkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jelas sekali semua bayaran yang diperoleh itu tidak mencukupi untuk membayar balik jumlah pokok dan faedah bagi hutang 1MDB berjumlah RM52 bilion yang mana jumlah prinsipalnya ialah RM32 bilion.

“Kini kata-kata Najib bertentangan dengan bekas Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan sekarang yang menolak fantasinya bahawa rakyat tidak perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB.

“Adakah fantasinya menolak sabitan kesalahannya pada Disember lalu apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadapnya dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta,” soalnya.

Menurut Guan Eng, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB setakat ini, dengan RM38.81 bilion masih tertunggak setakat 31 Disember tahun lalu menurut Kementerian Kewangan.

“Najib perlu memohon maaf dan menarik balik dakwaan palsu dan tidak berasasnya di Parlimen,” katanya.

Najib dalam ucapannya ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, semalam berkata, hutang 1MDB tidak sewajarnya digunakan sebagai alasan mengenai keadaan kewangan negara yang teruk.

Beliau mendakwa hakikatnya satu sen pun hutang 1MDB tidak pernah dibayar oleh kerajaan sebelum ini.

Najib juga berpendapat, adalah tidak betul mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here