DATUK Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan keputusan dibuatnya agar Kumpulan Wang Simpanan Malaysia (KWSP) membuat pelaburan luar negara semasa beliau menjadi Perdana Menteri adalah tepat walaupun dikritik teruk ketika itu.
Ahli Pekan itu berkata, akhirnya strategi pelaburan bermula tahun 2017 itu kini terbukti betul dengan KWSP tetap memberi pulangan yang agak baik biarpun prestasi ekonomi negara teruk.
“Dulu saya dikritik teruk sebab saya kata KWSP akan melabur di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2017.
“Saya beritahu Presiden AS Donald Trump bahawa Malaysia akan “bantu perkukuh ekonomi AS” sebab itu bahasa diplomatik.
“Selepas dikritik, saya terpaksa jelaskan bahawa pelaburan KWSP di AS akan naikkan pulangan dividen,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, keputusannya ketika itu adalah berdasarkan saiz dana KWSP yang semakin menghampiri RM1 trilion, manakala jumlah nilai kesemua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia masa itu adalah RM1.7 trilion.
“Bermakna ruang bagi KWSP untuk mencari pulangan yang baik dalam pasaran tempatan semakin sempit.
“Sebab itu jika mahu pulangan yang lebih baik maka KWSP perlu diberi kelonggaran di pasaran luar negara,” katanya.
Najib berkata, susulan kritikan Pakatan Harapan (PH) yang mengatakannya bodoh, kerajaan masa itu juga perlu memberi jaminan kepada pencarum bahawa pelaburan KWSP di luar negara perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.
“Prestasi Bursa saham Malaysia sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) merupakan antara pasaran saham paling corot dalam dunia manakala pasaran-pasaran saham lain terutamanya di AS asyik pecah rekod paling tertinggi.
“Begitu juga dengan tahun lepas. Akhirnya, strategi bermula tahun 2017 itu terbukti betul,” katanya.
Beliau berkata, KWSP tetap memberi pulangan yang agak baik dan diselamatkan oleh pulangan dari pelaburan asing.
Semalam KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.1 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah bagi tahun 2021.
Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata KWSP kekal stabil dan berdaya tahan pada 2021, sebahagiannya kerana mempunyai kedudukan portfolio yang kukuh dan pelaburan yang pelbagai di peringkat global. – Malaysiapost

