Peguam Negara boleh buka semula fail – Anwar

0
2
anwar ibrahim

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kepimpinan kerajaan hari ini supaya membuka semula fail bagi kes jenayah yang didakwa berlaku pendakwaan terpilih semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, jika benar terdapat pendakwaan terpilih seperti yang diandaikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, semalam tiada halangan untuk fail kes berkenaan dibuka semula.

“Kalau Perdana Menteri mengandaikan di bawah kerajaan PH berlaku pendakwaan terpilih, tidak ada halangan sama sekali untuk Peguam Negara membuka fail-fail tersebut.

“Jangan bagi alasan dan berikan sindiran seolah-olah ada,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini ketika sesi perbahasan usul menjunjung kasih atas titah diraja Yang di-Pertuan Agong.

Anwar yang juga Presiden PKR menarik perhatian kepada dakwaan bahawa seorang konglomerat dilindungi kerana anak individu itu terlibat kes dadah dan mengesakan beliau juga tidak akan mempertahankan konglomerat kaya yang rasuah.

“Saya syorkan kepada Perdana Menteri supaya memastikan Peguam Negara sama ada yang sekarang atau yang dahulu. Dan yang sekarang boleh buka semula kerana tiada had masa untuk pendakwaan kes jenayah.

“Bagi saya ada baiknya, supaya kadang-kadang orang yang berdegar-degar cakap pasal rasuah itu tahu ‘hadnya’ bila dia sendiri atau keluarganya terpalit dengan jenayah atau rasuah,” katanya.

Beliau turut menolak andaian yang mengatakan ini soal sikap terutama orang Melayu boleh menerima rasuah.

“Pandangan sedemikian masih berterusan dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu. Ini penyakit yang harus diubati bermula dengan sikap pemimpin.

“Mula-mula (anggap) Melayu malas, kemudian (anggap) Melayu senang terima rasuah,” katanya.

Perdana Menteri semalam memberi jaminan di Dewan Rakyat bahawa pentadbirannya tidak akan melindungi mana-mana individu daripada pendakwaan kes rasuah dan tiada pendakwaan terpilih kepada sesiapa sahaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here