PENGARAH Operasi Pilihan Raya Bersatu, Badrul Hisham Shaharin mendesak Datuk Seri Najib Razak berhentilah berbuat ‘onar besar’ memecah kejituan pihak nasionalis.
Beliau berkata, Najib perlu berhenti berbuat demikian sekiranya enggan namanya ‘disebut-sebut’ lagi yang terkait dengan perlakuan jenayah kolar putih.
Katanya, Najib merasakan dirinya kini menjadi kegilaan ramai dan banyak pihak yang obses terhadapnya.
“Kononnya dirinya menjadi kegilaan ramai. Kononnya kita semua obses terhadap lelaki bernama Najib.
“Sedangkan namanya disebut atas dasar Amr Ma’aruf Nahi Munkar. Bahkan (Najib) mahu ajar pula masyarakat supaya tidak reti malu, supaya menjadi muka tebal sepertinya juga.
“Jika beliau enggan namanya disebut lagi, maka berhentilah berbuat onar besar memecah kejituan pihak Nasionalis,” katanya menerusi Facebook.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard berkata, nama Najib akan terus diratib melakukan kesalahan jenayah kolar putih selagi mana beliau terus berbuat onar memecahkan kejituan nasionalis.
“Jika beliau tak suka diratib namanya sebagai Najib. Maka baiklah, selepas ini kita semua hanya panggil beliau sebagai ‘Laki Rosmah’ sahaja,” katanya.
Sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula, populariti Najib dilihat semakin meningkat apabila mendapat sambutan di setiap program dan kempen yang dihadirinya. – Malaysiapost

