Beberapa parti politik mengadu bahan kempen dirosakkan

0
2

SUHU kempen politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mula panas susulan beberapa parti politik mengadu bahan kempen mereka dirosakkan, terutamanya papan iklan.

Perikatan Nasional (PN), PKR, DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa papan iklan mereka dirosakkan.

Semalam, papan iklan PKR yang memaparkan wajah presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Felda Titar 1 di DUN Tenggatoh dibengkokkan.

Malah, difahamkan, iklan yang memaparkan wajah Anwar dan bendera PKR juga turut dikoyakkan.

Sementara itu, calon DAP Pekan Nanas Yeo Tung Siong mengadu papan iklannya di Kampung Melayu Raya turut koyak.

Papan iklan itu memaparkan wajahnya yang menyeru agar ‘Cikgu Yeo’ dikekalkan di kerusi itu bersama logo PH.

Menurut Tung Siong, pasukannya sudah membuat laporan polis malam tadi.

“Saya tidak menyimpan dendam tetapi saya kecewa dengan ketidakmatangan politik,” katanya.

Manakala di Puteri Wangsa, MUDA turut membuat laporan polis malam tadi selepas dua papan iklan mereka direbahkan.

Papan iklan yang terletak di Taman Gaya dan Jalan Ayu itu memaparkan calon parti itu, Amira Aisya Abd Aziz.

MUDA turut mengecam tindakan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘politik longkang’.

Di Tiram, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengadu beberapa papan iklan PN yang memaparkan wajah Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dirosakkan.

Beberapa papan iklan itu dicondongkan sementara yang lain mengatakan paparan muka Muhyiddin dikoyakkan.

“Politik pengecut, mereka takut poster,” katanya.

Kempen untuk PRN Johor bermula sejak 26 Februari lalu sehinga malam menjelang hari mengundi pada 12 Mac ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here