Kami dibesarkan dengan skandal politik Tun M, diajar benci Anwar – Razlan

0
2
Datuk Razlan Rafii

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bermain dengan propaganda hasutan berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu hari ini.

Beliau berkata, kenyataan yang mengaitkan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak dengan jenayah tiada beza dengan sejarah yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu.

“Kami anak Malaysia dibesarkan dengan scandal politik di zaman Dato Sri Dr Mahathir. Dari saya sekolah rendah sehingga ke zaman pemuda, kami di ajar untuk membenci Anwar Ibrahim, disebut setiap masa oleh Mahathir dan seluruh orang Umno ketika itu dengan skandal sodomi.

“Saban hari nama Anwar di sebut dan dijadikan bahan ceramah dan buku-buku penulisan.

“Di zaman itu, siapa tak kenal Agustine Paul, hakim yang bertanggungjawab membawa katil tilam dijadikan bahan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razlan berkata, terdapat banyak peristiwa hitam negara akibat daripada propaganda politik dan menanam kebencian kepada Anwar dan keluarga, sehingga mereka dilihat jijik disebabkan bahasa yang dimainkan Dr Mahathir dan rakan-rakan ketika itu.

Namun begitu, katanya, sehingga hari ini tiada permohonan maaf dari Dr Mahathir kepada Anwar, dan tiada juga pengakuan salah dari Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kepada Dr Mahathir.

“Sejarah ini tiada beza dengan apa yang Dr Mahathir sedang lakukan, meratip nama dan mengulang-ulang perkataan sodomi mahupun penjenayah.

“Hari ini, sejarah tertulis, Dr Mahathir yang melepaskan seorang penjenayah dari kandang gerigi besi,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu seperti tidak melakukan kesalahan apa-apa dan tiada keinsafan bertindak sedemikian.

Ini kerana, katanya, semua itu atas dasar pertimbangan politik, jauh sekali melihat kepada peristiwa yang memalukan negara seperti yang diungkapkan sekarang.

“Beliau laksanakan perkara itu ibarat tidak ada apa-apa kesalahan mahupun keinsafan. Semua itu atas dasar Pertimbangan Politik, jauh sekali melihat kepada peristiwa yang memalukan negara seperti yang beliau ungkapkan sekarang.

“Apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir hari ini tidak jauh beza dengan apa yang beliau lakukan pada Anwar Ibrahim tiga dekad dahulu. Hanya bermain propaganda hasutan demi mencapai kepuasan hati beliau,” katanya.

Hari ini, pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dalam hantaran Facebook berkata, Najib lebih memilih jenayah untuk dikait rapat dengan namanya, berbanding Tun Abdul Razak yang dikenali amat berjasa kepada negara.

Katanya, ketika Tun Abdul Razak yang juga bapa kepada Najib menjadi Perdana Menteri, namanya dan pembangunan Malaysia disebut bersama.

“Malangnya Najib pilih jenayah untuk dikait rapat dengan dirinya. Tidak seperti bapaknya, Najib lihat kuasa sebagai peluang untuk memperkayakan dirinya.

“Demikianlah skala jenayahnya sehingga seluruh dunia mengenali Najib dan jenayah yang dilakukan olehnya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here