SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor ditemui meninggal dunia dipercayai menembak dirinya sendiri dengan menggunakan senjata api di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata Pusat Kawalan IPD Sentul, Kuala Lumpur menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 berhubung kejadian tersebut pada 3.30 petang tadi.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa yang berumur 35 tahun merupakan seorang Pegawai Kanan Polis yang kini sedang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
“Siasatan awal dipercayai mangsa telah menembak dirinya sendiri dibahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Eng Lai berkata, pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian bersama pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan kematian mangsa pada jam 3.59 petang.
“Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.
“Punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak polis. Kes ini telah diklasifikasikan sebagai SDR (Mati mengejut).
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk tampil memberikan keterangan.
“Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu ASP Foo Keat How di talian 012-7461500 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482206,” katanya. – Malaysiapost

