PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan peguamnya telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu lalu.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menafikan tuduhan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan yang mendakwa beliau masih belum menghantar LOD tersebut kepada Dr Mahathir.
“Saya telah mengarahkan Peguam saya untuk menghantar ‘letter of demand’ untuk surat saman kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kedua-dua saman itu telah dihantar minggu lepas dan kalau individu itu mengatakan bahawa saya tidak menghantar maka peguam saya iaitu Datuk Hamidi Mohd Nor telah menghantar surat itu melalui firma guamannya, Shahrul Hamidi & Haziq.
“… dan tanya sendiri kepada kedua-dua mereka itu sama ada saya berbohong atau orang yang menerima ‘letter of demand’ itu.. saya telah melakukannya,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menolak dakwaan pernah mengeluarkan hantaran di media sosial bahawa beliau akan melakukan sumpah laknat di Masjid Pagoh.
Tegasnya, berita sumpah laknat itu adalah palsu dan media sosial miliknya juga ada membuat penafian.
“Manakala kononnya saya akan melakukan sumpah laknat di Masjid Pagoh. Namun media sosial saya telah mengatakan bahawa itu adalah palsu.
“Dan saya tidak pernah mengeluarkan sebarang tawaran atau gambaran pada orang itu berkaitan pelaksanaan sumpah laknat itu,” katanya.
Justeru, beliau meminta mana-mana pihak untuk tampil menyatakan perkara sebenar dan tidak menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai medium memburukkan individu lain.
“Tetapi saya yang meminta individu itu yang bercakap benar, dia lah yang bersumpah laknat. Saya tidak pernah jumpa dia untuk minta tolong jauh lagi membawa fail-fail yang banyak supaya digugurkan segala pertuduhan, saya harap orang itu berani.
“Berani untuk menyatakan yang benar, jangan gunakan pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini untuk memburukkan mana-mana individu.
“Kita bercakap tentang parti, apa parti dan calon kita boleh tawarkan jika menang nanti.
“Saya harap timbul kesedaran kepada kita ahli-ahli politik profesional, jangan menggunakan kaedah lama untuk memburukkan pihak musuh,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor, 12 Mac ini.
Ahmad Zahid, berkata kerapuhan kerajaan negeri menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad sukar membuat keputusan membangunkan Johor.
“PRN kali ini tidak dilaksanakan untuk menyusahkan rakyat, tetapi semata-mata mahu rakyat memberikan mandat semula kepada Umno dan BN.
“Mandat baharu penting kerana kita mahu kerajaan Johor yang stabil, tetapi untuk mewujudkan kerajaan stabil perlu menang dulu,” katanya. – Malaysiapost

