Banjir makin buruk di Terengganu, mangsa diselamatkan dengan Helikopter

0
2

PENDUDUK di lebih 20 kampung di daerah Hulu Terengganu terputus hubungan akibat situasi banjir yang makin memburuk.

Kawasan kampung yang paling teruk terjejas ialah sekitar Tersat, Hulu Telemong dan Jenagur di Telemong di samping mukim Hulu Berang di Ajil.

Antara lokasi itu ialah di Kampung Sekayu, Kemat, Durian Bador, Nibung, Tapah, Kuala Ping, Tok Lawit, Lubuk Pait, Peneh, Lubuk Periuk, Gunung dan Pengkalan Ajal.

Keadaan ini sekali gus menyukarkan pasukan penyelamat untuk datang membantu berikutan semua laluan yang ditenggelami air.

Difahamkan, ketika ini kebanyakan mangsa terpaksa berlindung di bumbung kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri berikutan air naik terlalu cepat.

Menurut Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu, berkata kira-kira 13 kampung di DUN berkenaan terjejas dan pihaknya masih mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

“Keseluruhan penduduk adalah 3,000 orang, namun jumlah sebenar yang terlibat banjir belum dapat dipastikan dan dianggarkan mencecah 1,000 mangsa. Banjir kali ini agak luar biasa dan operasi menyelamat masih giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd, berkata pihaknya terpaksa menggunakan helikopter bagi memindahkan 18 mangsa banjir termasuk bayi dan warga emas selepas kediaman mereka di Kampung Lubok Pait, di Hulu Terengganu, ditenggelami air dan terputus hubungan, pagi ini.

Beliau yang turut terperangkap bersama beberapa anggota di lokasi kejadian berkata, pihaknya ke kampung berkenaan untuk melakukan operasi menyelamat kira-kira jam 6 pagi tadi.

“Namun, sebaik tiba di lokasi, air semakin naik menyebabkan laluan ke kampung berkenaan ditenggelami air sehingga mencecah paras dua meter menyebabkan kami terperangkap di lokasi kejadian,” katanya.

Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan keadaan banjir di daerah ini semakin buruk apabila beberapa kampung dinaiki air dan terputus hubungan.

Air naik secara mendadak pada awal pagi menyebabkan penduduk menjadi kelam kabut untuk menyelamatkan diri.

Situasi itu menyebabkan ada penduduk terpaksa mencari tempat tinggi seperti bumbung dan kawasan bukit bagi menyelamatkan diri sebelum diselamatkan anggota penyelamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here