‘PRN Johor bukan soal saya atau Zahid’ – Najib

0
2

Nilam Oshman

DATUK Seri Najib Razak menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sepatutnya fokus mengenai beliau atau Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu, berkata pembangkang selalu menggunakan propaganda kluster mahkamah kerana mereka tiada modal lain untuk memburukkan Umno-BN di mata rakyat.

“(Bagaimanapun) saya seronok.. kalau saya dan Datuk Seri Ahmad Zahid dijadikan sasaran.

“Ia bagus sebab pada pengundi, mereka akan nilai siapa yang boleh memberi kesejahteraan, siapa yang boleh membela mereka. Itulah soal pokok agenda utama dalam PRN negeri ini bukan soal saya dan Zahid,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaan ramai calon di PRN Johor seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas yang menyaksikan pertadingan tujuh penjuru, beliau berkata, ia kemungkinan memberi peluang besar kepada BN untuk menang di kerusi tersebut.

Namun, Najib berkata, BN tidak boleh terlalu optimis dan jentera parti perlu bekerja keras menambat hati rakyat.

“Kita rasa lebih ramai (calon) kemungkinan lebih baik peluang untuk BN tapi kita boleh merasakan terlalu optimis. Kita mesti bekerja keras dan yakin bahawa kita ni menawarkan agenda yang terbaik untuk rakyat.

“Kita mesti bersikap tawaduk, rendah diri bahawa kita ni minta mandat daripada rakyat, supaya rakyat membuat pilihan yang bijak. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perbezaan PRN Melaka dan PRN Johor, Najib berkata, kemenangan di Johor akan membawa impak terhadap landskap politik negara.

Katanya, setiap kali diadakan PRN, ia seperti dikatakan ‘testing ground’ tapi jika dari segi nilai politik, Johor memang lebih besar dengan 56 DUN dan 26 Parlimen.

“Bererti bahawa sesiapa yang berjaya di sini, ia akan membawa impak yang besar daripada senario dan landskap politik negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here