SOP dos lengkap, penggalak untuk solat Jumaat, hanya di Selangor – JAKIM

0
2
Masyarakat Islam hadir ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menunaikan solat Jumaat ketika tinjauan Malaysiapost hari ini. Difahamkan hanya 300 orang sahaja dibenarkan oleh petugas-petugas masjid. Kerajaan membenarkan solat di masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri ketika pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan syarat dua dos lengkap dan dos penggalak untuk solat Jumaat di Selangor hanya terpakai di negeri itu.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Dasar), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata syarat berkenaan ditetapkan pihak berkuasa agama Selangor dan hanya terpakai kepada masjid dan surau di negeri berkenaan sahaja.

“Kerajaan Selangor telah menetapkan syarat menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak bagi membolehkan jemaah hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Jumaat.

“Prosedur operasi standard (SOP) solat berjemaah di masjid dan surau di lain-lain negeri masih seperti biasa dan perkara ini adalah tertakluk keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JAKIM menghormati ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri Selangor dan menasihati umat Islam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor menetapkan hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak, dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh negeri itu bermula 25 Februari lalu.

Langkah itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here