PERTUBUHAN Gabungan Institusi Pondok Tahfiz dan Ilmuan Sunni (GIPTIS) menggesa pihak berwajib mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) lengkap dos penggalak sebagai syarat untuk solat Jumaat di masjid.
GIPTIS dalam kenyataan, berkata pihaknya turut memohon pihak berwajib agama membuat suatu tempat khas untuk individu-individu berkenaan menunaikan solat Jumaat seperti di dewan terbuka.
“Majoriti rakyat melahirkan rasa kekesalan terhadap tindakan SOP yang sangat ketat dikenakan ke atas umat Islam yang ingin hadir menunaikan solat Jumaat.
“(Ia berbeza) berbanding SOP yang longgar untuk masuk ke stadium, pusat beli-belah, pengangkutan awam dan lain-lain,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor menetapkan hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak, dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh negeri itu bermula 25 Februari lalu.
Langkah itu sejajar arahan mempertingkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di masjid, surau dan musolla di Selangor dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

