HUJAN lebat berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan, terus meningkat, tetapi belum melepasi bacaan pada 2014.
Pengarah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha, berkata bacaan terkini sehingga jam 9 pagi tadi, paras air Sungai Golok adalah 10.52 meter (m).
Katanya, paras air sungai itu pada 2014 adalah 10.84m menyebabkan banyak kampung dan bandar Rantau Panjang serta Pasir Mas lumpuh selepas dilanda banjir.
“Walaupun paras air sungai terkini belum melepasi bacaan 2014, banyak kampung dan bandar Rantau Panjang sudah dilanda banjir menyebabkan ramai penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan lokasi selamat.
“JPS terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa memandangkan hujan masih lebat dan akan menyebabkan air Sungai Golok akan meningkat,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Kamal menasihatkan kepada penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas terutama di lokasi rendah supaya terus waspada serta mengambil langkah berpindah jika melihat air terus naik.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan semua penduduk selamat dan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kepada mereka.
Terdahulu, tular di laman Facebook yang mendakwa paras air Sungai Golok sudah melepasi bacaan pada 2014 menyebabkan banyak kampung terjejas dan penduduk meminta bantuan untuk berpindah.
Berikutan peningkatan paras air itu juga menyebabkan penduduk risau jika berlaku banjir besar seperti Disember 2014.
Di Terengganu, paras air di kebanyakan sungai utama di negeri itu menunjukkan trend peningkatan.
Setakat jam 10 pagi tadi, 13 sungai direkodkan melepasi paras bahaya, tiga mencatatkan bacaan melepasi paras amaran manakala dua lagi direkodkan melepasi paras waspada.
Kesemua 13 sungai yang direkodkan melepasi paras bahaya adalah lima di Setiu, tiga di Hulu Terengganu, masing-masing dua di Besut dan Dungun serta satu di Kemaman.
Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, kesemua lima sungai utama di daerah Setiu masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

