Najamuddin Mohd Nor
LIMA Pemuda Umno yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini adalah bakal wakil rakyat yang memiliki ramuan ampuh dengan ciri-ciri kepemimpinan yang amat diperlukan rakyat negeri berkenaan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad, berkata kesemua mereka yang dicalonkan itu telah diteliti dan ditapis serta mempunyai daya ketahanan kental memikul tanggungjawab sebagai pemimpin yang akan membela nasib rakyat Johor pada masa hadapan.
“Calon yang kita bariskan adalah lima calon yang mewakili orang muda. Orang kata orang muda yang diketengahkan ini adalah pemuda yang telah dibanting, diperah, sudah dijemur, disumbat dalam peti sejuk dan mereka ‘survive’, inilah ciri-ciri pemimpin yang orang muda patut kita miliki,” ucapnya.
Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor berkata demikian dalam satu majlis beramah mesra dengan pengundi18 di Kempas, malam kelmarin.
Justeru, Hasni menegaskan, orang muda tidak boleh memperjudikan masa hadapan Johor dengan memilih pemimpin yang hanya cantik di luar tetapi belum tentu baik dalamannya.
“Jangan kita pergadaikan masa depan negeri kita ini. Inilah masanya untuk orang muda buktikan bahawa kita menolak politik yang bersifat cantik di luar sahaja.
“Ini bukan tempatnya untuk kita memperdagangkan masa depan anak anak muda kita, masa hadapan kalian pengundi orang muda,” katanya.
Proses penamaan calon yang diadakan semalam secara rasminya mengesahkan lima Ketua Pemuda Umno Bahagian di Johor bertanding di PRN Johor kali ini.
Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Md Shah, 38, bakal berentap enam penjuru di kerusi panas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Manakala, Naib Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, 42, menggalas tanggungjawab untuk merampas kembali DUN Semerah yang dimiliki PKR.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Pagoh, Ir Mohamad Fazli Mohammad Salleh pula dipertanggungjawab merampas semula DUN Bukit Pasir yang terlepas ke tangan PAS pada pilihan raya umum lalu.
DUN Tanjung Surat pula menyaksikan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengerang Aznan Tamim manakala Ketua Pemuda Bahagian Sri Gading, Datuk Mohamad Najib Samuri bertanding di DUN Parit Yaani. – Malaysiapost

